
Di mana kuang hendak bertelur,
Di atas lata di rongga batu;
Di mana tuan hendak tidur,
Di atas dada dirongga susu.
HARGA petrol dan diesel diturunkan sebanyak 10 sen selepas ia diturunkan 15 sen pada bulan lalu, yang berkuatkuasa tengah malam ini.
Ini bermakna harga runcit RON97 turun daripada RM2.55 seliter kepada RM2.45 seliter, manakala diesel pula daripada RM2.50 kepada RM2.40.
Jun lalu, kerajaan mengejutkan rakyat apabila menaikkan harga petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter pada saat harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 pertong.
Pada 23 Ogos lalu sebelum Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, harga petrol dikurangkan sebanyak 15 sen kepada RM2.55 seliter daripada RM2.70.
Benarkah Pas Terengganu terlalu keras atau syadid?
Nota oleh Nazmi Yaakub pada 1:41 PM Labels: KontroversiKawan saya, Jimadie Shah Othman, yang dulu tulis skrip drama dan puisi, suka geletek Pas. Rencana beritanya, ‘Mentaliti suka haramkan’ punca Pas T’ganu tewas, memang boleh jadikan panaskan sebahagian telinga pemimpin Pas. Tambah-tambah ramai pula pemimpin Pas dari Terengganu yang berada di pusat sekarang.
Memang, feel perangai yang keras ini sudah menjadi rahsia terbuka pada Pas Terengganu. Rasanya kita tidaklah banyak mendengar kes sembahyang dua jemaah atau masjid dalam satu mukim yang sebanyak di Terengganu. Begitu juga pendekatan seperti jangan pergi kenduri orang parti lawan juga rasanya paling kerap didengar adalah di Terengganu.
Kerana itu kita mungkin hairan, mengapa Pas boleh menang di Kelantan tetapi liat sungguh nak tumbangkan Umno di Terengganu. Sedangkan dari sudut logiknya, budaya beragama di Terengganu kalau pun tak boleh kata lebih kuat, mungkin sama kuat di Kelantan.
Mungkin juga institusi pondok/sekolah agama amat sinonim dengan Pas di Terengganu sehingga banyak pondok dan sekolah agama yang berada di bawah naungan pemimpin politik yang memang mempunyai latar belakang pendidikan agama yang kuat.
Ini mungkin berbeza dengan Kelantan kerana tok guru pondok tidak terjun secara langsung ke dalam arena politik. Adalah seorang dua seperti Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri.
Apa pun, Pas Terengganu wajar bermuhasabah -selain menyalahkan Umno- adalah patut untuk mencungkil kelemahan mengapa undi pengundi di atas pagar/muda tidak dapat memenangkan Pas seperti yang berlaku di Kelantan apabila kepimpinan Tok Guru dianggap telur berada di hujung tanduk.
Raja Petra bakal menyertai Universiti Terbuka Kamunting (UTK)
Nota oleh Nazmi Yaakub pada 1:00 PM Labels: BeritaBlogger kontroversi, Raja Petra Kamaruddin (RPK), akan dihantar ke Kem Tahanan Kamunting hari ini, untuk menjalani tahanan selama dua tahun berikutan Menteri Dalam Negeri menandatangani perintah tahanannya malam tadi mengikut Seksyen 8 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dengan ini, RPK akan menjalani ‘kursus’ selama dua tahun di UTK dengan option sambungan setiap dua tahun ke institusi yang pernah melahirkan individu seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Syed Hussin Ali, Dr Kassim Ahmad dan Mohamad Sabu itu.
Cuma berbeza dengan individu berkenaan, RPK menjadi ‘pelajar tua’ berbanding mereka yang menjalani tahanan itu pada usia muda.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bakal mendengar permohonan habeas corpus yang difailkan peguam RPK untuk membatalkan penahanan blogger itu.
Apa daa, kalau ini drama, maka ia drama yang spoil. Kalau pun boleh dikatakan twist, ia twist yang spoil.
Abdullah Nasihat Zaid Bercuti Dan Fikir Semula Hasrat Letak Jawatan
KUALA TERENGGANU, 15 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim supaya bercuti dan memikirkan dengan mendalam keputusannya untuk meletakkan jawatan.
Perdana Menteri berkata Zaid ada mememui beliau di kediamannya di Seri Perdana di Putrajaya petang tadi dan menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan.
"Dia ada sebut perkara itu (meletak jawatan) kepada saya, saya kata fikir betul-betul... kalau dia letih sangat pergilah bercuti.. pergi sekejap sudahlah," kata Abdullah kepada pemberita selepas berbuka puasa dan solat Maghrib bersama pemimpin dan rakyat di Masjid Abidin di sini.
Perdana Menteri berkata beliau tidak dapat berbual lama dengan Zaid kerana beliau bergegas untuk datang ke Terengganu.
Turut hadir isteri beliau Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Zaid hari ini dilaporkan meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan surat peletakan jawatan beliau diserahkan kepada Perdana Menteri di Putrajaya pada pukul 2 petang.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri mengesahkan Zaid telah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai menteri Kabinet ke pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Bagaimanapun, Abdullah berkata beliau belum berkesempatan untuk melihat surat itu dan tidak tahu apakah alasan Zaid berbuat demikian.
"Surat itu tidak ada pada saya. Zaid jumpa saya di rumah, surat itu dihantar ke pejabat," katanya.
Ditanya pendirian beliau mengenai peletakan jawatan oleh Zaid, Abdullah berkata Zaid bebas untuk berbuat demikian dan tindakannya itu tidak akan melemahkan Kabinet pimpinannya.
Semalam, Zaid menyatakan kesediaannya dipecat atau diarah meletak jawatan daripada Kabinet jika kerajaan terus melakukan tangkapan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap kes bukan membabitkan anasir komunis dan pengganas di negara ini.
Saya hilangkan tanda soal. Nampaknya, kabinet sekali lagi bergoncang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zaid Ibrahim yang sebelum ini mengkritik penahanan tiga individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dikatakan menyerahkan surat perletakan jawatannya petang tadi, lapor Malaysiakini.
Akhbar dalam talian itu memetik sumber yang mengatakan surat itu diserahkan kepada pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, jam 2 petang.
Zaid sebelum ini meluahkan rasa tidak senang terhadap tindakan kerajaan menahan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok; pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai RPK dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng, Jumaat lalu. Hoon Cheng bagaimanapun dibebaskan kira-kira 18 jam kemudian.
Dalam perkembangan lain, Zaid gagal mempertahankan jawatan ketua Umno bahagian Kota Bharu ekoran tidak mendapat cukup pencalonan apabila hanya memperoleh 17 pencalonan daripada 24 yang diperlukan, sekali gus kalah kepada pemangku jawatan itu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.
Mohd Fatmi ialah setiausaha politik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Barangkali tidak tepat untuk mengatakan kontroversi kenyataan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mustafa Ali sebagai bibit awal kepada perang besar dalam Pas. Mungkin ia hanya ribut dalam cawan. Tidak mustahil juga ia adalah budaya tradisi dalam Pas yang menyaksikan akan wujud kelompok serpihan setiap kali Pas melakukan tajdid politiknya. Seperti selepas gabungan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Seperti selepas gelombang kepimpinan ulama merempuh dinasti Asri pada awal 1980-an. Seperti selepas tragedi politiknya di Kelantan pada 1978.
Dalam kes kenyataan Mustafa, nampaknya Naib Presiden Pas dan Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa terlebih awal bertingkah dengan catatannya Lumba Lari Politik Malaysia:-
Lumba Lari Politik Malaysia
(Apa-apa berkenaan dengan PAS - hanya sekadar hipotesis)
Politik Malaysia dalam perlumbaan - menjatuhkan Abdullah atau menyambung hayatnya.
Abdullah menghadapi dua serangan serentak : dalam UMNO dan di luar.
Anwar menetapkan September atau mana-mana tarikh terdekat untuk bukan sahaja Abdullah dijatuhkan tetapi juga seluruh kerajaannya bertukar. Lagi dekat Anwar menghampiri matlamat ini, lagi pantas dua kumpulan lain berlari menuju garis penamat. Satu, kumpulan dalam UMNO yang melihat jika sesuatu tidak dilakukan, Anwar besar kemungkinan menjadi orang paling awal mencapai garis penamat. Abdullah tewas, Anwar berjaya.
Untuk mengelakkan kerajaan BN tumbang, Abdullah mesti diturunkan secepat mungkin. Muhyidin, hari ini, (10 September) sudah pun membuat kenyataan di Singapura, bahawa Abdullah perlu berundur lebih awal dari yang ditetapkan, Jun 2010.
Hari yang sama, Mustapa Ali, membuat kenyataan di Terengganu, menolak kemungkinan Anwar akan berjaya, dalam apa yang dilihat sebagai langkah awal ke arah melumpuhkan gerakan menurunkan Abdullah.
Selain September, Oktober dan Disember adalah garis-garis penamat untuk lumba lari dalam politik negara kita. Oktober adalah bulan mesyuarat Agung UMNO akan diadakan di mana pencalonan jawatan tertinggi UMNO akan berlangsung. Disember adalah mesyuarat Agung Pemilihan UMNO.
Tengku Razaleigh sudah mengumumkan beliau bersedia menentang Abdullah untuk jawatan Presiden UMNO. Halangan utama beliau ialah sistem kuota yang ditetapkan sejak zaman Mahathir lagi, yang memberi kelebihan kepada pemegang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang sedia ada.
Kiranya bola yang disepak oleh Muhyidin hari ini bergolek kencang, Abdullah paling lewat akan berundur Disember ini. Mahathir yang secara sukarela keluar dari UMNO atas protes ke atas Abdullah, kini dipelawa oleh Muhyidin untuk memasuki semula UMNO.
Masuknya Mahathir untuk apa? Menjatuhkan Abdullah dari dalam dengan membantu Ku Li untuk menentang Abdullah. Lazimnya MT UMNOlah yang akan memutuskan permohonan memasuki UMNO. Jika Abdullah tahu bahawa Mahathir masuk untuk menjatuhkan beliau, beliau sepatutnya menyekat kemasukan itu. Namun, jika ia tetap diteruskan, bermakna Abdullah sudah tidak dapat menguasai MT UMNO lagi dan ini petanda awal Abdullah sedang menggelunsur turun, tidak lebih dari Disember. Sungguhpun Abdullah dan Najib sudah pun memeterai persetujuan bahawa pelan pengunduran Abdullah adalah Jun 2010, pelan itu nampaknya sudah mula tercabar.
Pelan tersebut berjaya mematikan langkah Najib sebagai potensi pencabar terdekat Abdullah. Tapi kini, pemain baru muncul iaitu Muhyidin. Sekalipun tidak jelas apa pos yang beliau sendiri akan tandingi, namun kenyataan se orang Naib Presiden kanan supaya Abdullah berundur lebih awal, akan mengubah corak permainan. Ia tidak mudah dilupuskan begitu saja.
Keputusan Permatang Pauh dan kontraversi Ahmad Ismail adalah perkembangan baru yang mewajarkan penilain semula dibuat ke atas pelan peralihan kuasa 2010. Anutan umum dalam dan luar UMNO adalah bahawa kunci UMNO untuk kekal relevan dalam menerajui kerajaan ialah Abdullah digantikan dengan segera. Daya kepimpinannya amatlah lemah dan beliau gagal meningkatkan keupayaannya mengendalikan negara sekalipun selepas tamparan hebat Mac 2008. Bahkan perkembangan sejurus selepas pilihanraya memperlihatkan dengan lebih jelas ketidakupayaan beliau.
Kemaraan Khairy dengan gaya rambonya, terakhir, di Permatang Pauh, sekali lagi mengingatkan masyarakat Malaysia penguasaan politik tiga beranak ala Abdullah yang tidak disenangi oleh segenap lapisan masyarakat. Langkah membuta tuli menaikkan harga minyak sebegitu besar telah meninggalkan kesan yang parah dalam dada rakyat.
Adakah Abdullah kecundang? Tidak semestinya. Jika UMNO bahagian kekal paralais, isyarat yang dihantar oleh Muhyidin tidak akan bersambut. Penguasaan mekanisma kuasa melalui sistem kuota mungkin mengekalkan Abdullah dipuncak kuasa sekalipun beliau nyata amat lemah dan tidak lagi popular.
Apa kesannya? Tekanan untuk mengubah UMNO melalui mekanisma di luar UMNO akan lebih rancak dan kuat selepas Disember.
Muhyidin, dan juga Ku Li, sudah tentu akan bekerja kuat untuk mendapatkan cukup pencalonan. Itu pun tujuan Muhyidin membuat jolokan terbaru ini. Untuk membangkitkan kesedaran UMNO Bahagian-bahagian. Memang Muhyidin telah mendapat imej pemimpin yang serious untuk melakukan pemulihan UMNO. Ku Li muncul sebagai pilihan selepas Najib tidak lagi dapat bergerak. Najib kini seumpama jin yang perkasa tetapi telah dibotolkan oleh pawang. Jika mereka berjaya mendapat pencalonan lebih besar, Oktober/November sudah pun cukup untuk garis penamat Abdullah boleh ditumbangkan atau tidak diketahui.
Jika Ku Li dan Muhyidin bakal menggantikan Abdullah dan Najib serentak, senario politik selanjutnya memerlukan perhitungan baru.
Jika keduanya gagal, adakah Abdullah akan membiarkan Muhyidin begitu saja?
Muhyidin mempunyai satu lagi pilihan - bersama Anwar selepas Disember.
Jika itu berlaku, potensi untuk menumbangkan kerajaan Abdullah selepas Disember masih terbuka, jika ia gagal dilakukan sebelum itu.
Di sinilah PAS diperlukan oleh Abdullah. Menyambung hayat politik beliau.
Samada PAS bersetuju atau tidak menjadi terompah kayu Abdullah, belum berbangkit. Dalam perbincangan ini, ia adalah hipotesis semata-mata.
Bilakah tarikh Abdullah lebih seronok untuk PAS menyatakan kesediaannya untuk bersama Abdullah? Tentulah sebelum Oktober. Jika PAS sanggup berbuat demikian sebelum Oktober, UMNO bahagian-bahagian mungkin menganggap itu satu kesempatan baru. Mereka mungkin mencalonkan semula Abdullah dan cadangan Muhyidin akan menikam beliau sendiri selepas ini. Abdullah kekal dipuncak walaupun lembik. Najib juga, dengan segala masalah yang menghantuinya. Tapi mungkin untuk sementara. Jika Najib akhirnya akan gugur, siapakah Naib Presiden yang nanti terpilih dalam pemilihan dan kemudiannya bergerak menggantikan Najib? Biarlah masa menjawabnya tetapi tentunya bukan Muhyidin.
Relakah PAS berketuakan seorang pemimpin lemah seperti Abdullah? Pemimpin PAS lah yang perlu menjawabnya.
Jika ini berlaku, Abdullah berjaya mencapai dua matlamat sekali gus. Mengukuhkan semula kedudukannya dalam UMNO dan Kerajaan dan menumpaskan pelan Anwar. Sekali imbas, itulah natijah positifnya.
Adakah PAS bersedia berbuat demikian? Katakan PAS bersedia. PAS menyertai kerajaan Abdullah sebelum Oktober. Ia adalah satu lumba lari, telah kita sebutkan tadi. Date linenya berkisar September dan Oktober. Satu dari cara untuk memudahkan PAS menerima cadangan bersama Abdullah,ialah ISA.
Dalam konteks ini, kenyataan pemimpin tertentu tadi perlu diperhitungkan.
Namun, siapakah yang boleh menjamin dinamisma politik Malaysia terhenti setakat itu?
Adakah Muhyidin dan Ku Li yang kita andaikan tewas itu akan berdiam diri selepas pelan perubahan menerusi UMNO ternyata tertutup? Jika mereka bergabung dengan Anwar selepas Disember, bagaimana kedudukan kerajaan Abdullah-PAS?
Adakah semua ahli Parlimen PAS akan menyertai kerajaan Abdullah-PAS atau setengahnya kekal dengan gagasan Pakatan Rakyat? Berapa yang kekal dan berapa yang beralih? Perlu diingat bahawa Muktamar PAS yang terkini meluluskan usul sebulat suara untuk memperkasakan Pakatan Rakyat. Majlis Syura PAS, seperti disebut oleh anggotanya, Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat dalam temuramah bersama Harakah, tidak mengizinkan kerajaan campuran bersama UMNO.
Jika yang kekal dengan Pakatan Rakyat adalah separuh, tidakkah nanti kumpulan UMNO yang akan bergabung dengan Anwar boleh mencukupi apa yang hilang? Adakah Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak yang kini bersetuju bersama Anwar akan lebih ghairah bersama Anwar dengan adanya PAS dalam BN? Adakah desas desus bahawa MCA juga secara senyap-senyap memperhitungkan untuk keluar dari BN dan akan menyebabkan Kerajaan Abdullah-PAS tidak dapat bertahan lama?
Jika peluang Muhyidin untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri ada bersama Anwar dan tidak melalui UMNO, apa yang menghalang Muhyidin bersama orangnya untuk menyertai Anwar?
Jika Anwar sudah mempunyai 30 Ahli Parlimen BN untuk menyeberang, Anwar hanya perlukan Muhyidin membawa sekitar sebelas orang sahaja lagi untuk menggantikan separuh ahli Parlimen PAS yang menyertai Abdullah. Bahkan sebahagian dari separuh itu boleh balik semula ke pangkuan Pakatan Rakyat.
Jika dinamisma-dinamisma ini mengambil tempat, kerajaan Abdullah-PAS akan menjadi yang terpendek dalam sejarah.
Saya tak mau parti saya berakhir menjadi Pembangkang bersama Abdullah! Janganlah kerana Abdullah, kita mempersiakan harapan jutaan rakyat Malaysia untuk satu peluang perubahan politik Malaysia.
Sekalipun ada mana-mana pihak teringin merapatkan PAS dengan Abdullah, tunggulah langit menjadi lebih cerah. Selepas Monsoon Timur Laut berlalu, Insya Allah langit politik Malaysia akan menjadi lebih terang....
