Aug 13, 2007

sangeetha: sepasang kuda dipacu cinta, melangkaui palang perkauman

TEATER Sangeetha yang mengangkat percintaan dua watak mewakili dua bangsa besar dengan menipiskan isu perbezaan agama, menyingkap tabir perkauman yang memisahkan masyarakat di negara ini sehingga ia boleh dihayati khalayak tanpa mengira peringkat umur.

Sangeetha mewakili watak India manakala Derus tampil dengan identiti Melayu, bagaikan sepasang kuda yang dipacu oleh cinta murni, tetapi berhati-hati melangkaui palang perkauman yang selama ini seolah-olah menghadang interaksi kaum yang lebih intim.

Teater yang diangkat daripada novel dengan tajuk sama oleh penerima Anugerah Penulisan Sea 1988, Azizi Abdullah dan arahan Ahmad Hashim atau lebih dikenali sebagai Senibayan itu, dipentaskan di Panggung Pelenggang Cahaya, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, baru-baru ini.

Kira-kira 400 penonton pementasan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dibawa menyusur percintaan Sangeetha lakonan Milyana Arshad dan Derus (Mohd Nawi Ismail) yang berada pada hujung usia emas mereka, sekali gus menjelmakan perhubungan romantik yang bergerak secara perlahan, tetapi sentimental.

Pementasan bermula dengan rentak sangat perlahan lewat monolog Sangeetha yang terbaring di atas katil, tetapi fragmen itu diperkuatkan dengan prop yang kreatif apabila katil berkenaan ditegakkan, sehingga menyebabkan penonton seolah-olah melihatnya dari sudut pandangan atas.

Monolog Sangeetha melompat daripada kehidupan bersama arwah suaminya, Viralal (Halimi Mohamed Noh) yang romantik dan ada kalanya sedikit sensual kepada persahabatan Viralal serta Derus, sebelum penonton diterpa dengan kejutan lewat adegan kematian lelaki India itu yang sempat mengucapkan dua kalimah syahadah atas bantuan Derus.

Kematian Viralal menolak Sangeetha ke alam yang sunyi, sekali gus api cintanya mula memercik ke dalam kehidupannya sebagai balu, apabila Derus hadir walaupun sebagai pembantu rumah yang membersihkan halaman rumah, mencuci sangkar merbuk dan menguruskan kereta Moris Minor.

Babak yang menyaksikan bibit cinta mekar antara Sangeetha dan Derus, sekali gus mengubah status majikan-pekerja kepada pasangan kekasih, menjentik perasaan penonton terutama dialog watak wanita berusia 80 yang mempunyai dua lapis makna kerana dipengaruhi perasaan malu untuk berterus-terang.

Pementasan itu turut memanfaatkan teknologi apabila imej visual perjalanan di sekitar Pulau Pinang dipancarkan ke layar putih untuk babak Derus memandu kereta dengan ditemani Sangeetha.

Bagaimanapun pengucapan dialog kurang lancar dan ada kalanya tersasul dengan bahasa pasar atau bahasa Inggeris di beberapa babak menyebabkan penonton yang peka dapat mengesannya sehingga ada khalayak yang kedengaran tertawa dengan kesilapan itu.

Adegan tarian klasik India oleh Sangeetha juga boleh diperbaiki agar lebih kemas, sekali gus menghidupkan adegan yang diiringi paluan tabla oleh Viralal dan petikan gambus oleh Derus itu.

Begitu juga pengakhiran pementasan yang terlalu mendadak dengan kematian Derus, biarpun umum mengetahui kecenderungan Azizi untuk mengakhiri karyanya secara tragedi, tetapi penulis skrip boleh memasukkan isyarat awal terhadap penyakit jantung lelaki berkenaan.

Kesannya, pengakhiran yang sepatutnya menimbulkan suasana emosional, sebaliknya dianggap lucu oleh sebahagian penonton sehingga tertawa apabila Derus yang panik, rebah selepas mengetahui Sangeetha sedang nazak serta meminta lelaki itu untuk membacakan syahadah kepadanya.