Suka duka alam kewartawanan A Samad Said
“Wartawan jati jarang makan gaji tanpa makan hati.,,
SASTERAWAN Negara (SN), Datuk (Dr) Abdul Samad Muhammad Said atau lebih dikenali sebagai A Samad Said menerima taklif sebagai Pengarang Berita Harian pada 1976 berlatarkan zaman berkocak dan meresahkan akibat pertembungan kuasa politik yang terlalu hampir dengan kerusi jawatan itu.
Pelantikan A Samad berlaku secara mengejut apabila beliau dipanggil Pengarah Urusan The New Straits Times Press (Malaysia) Sdn Bhd (NSTP), Datuk Junus Sudin, dalam suasana yang dikocakkan oleh penahanan Tan Sri (Dr) A Samad Ismail di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Lebih meresahkan A Samad apabila beliau terpaksa melangkaui beberapa wartawan kanan kerana kedudukannya ketika itu, sekurang-kurangnya pada kedudukan ketujuh dalam hierarki jawatan di Berita Harian.
Taklif sebagai pengarang itu, lebih mencabar berbanding tanggungjawabnya sebagai pengelola ruangan sastera, selain menyusun bengkel yang bertujuan meluaskan pengaruh Berita Harian untuk memukat khalayak baru terutama di kalangan pembaca remaja dan muda.
Perlantikan itu turut membawa tugas besar yang dibebankan ke atas bahunya untuk membangunkan Berita Harian dengan wajah dan watak tersendiri, sekali gus sebagai akhbar Melayu yang terlepas daripada imbasan serta pengaruh New Straits Times (NST).
Ini kerana Berita Harian pada era sebelumnya, dilihat seolah-olah ‘pendua’ daripada NST kerana banyak berita khususnya membabitkan isu besar diambil dan diterjemahkan daripada akhbar berbahasa Inggeris berkenaan.
Tindakan pertama A Samad untuk meniupkan nafas baru pada Berita Harian ialah membuat perlantikan rasmi dan meletakkan tangga gaji baru untuk jawatan Pengarang Berita yang disandang Saad Hashim; Lidah Pengarang (Ahmad Sanusi Mohd Amin atau lebih mesra dengan panggilan Asni dan Amir Hamzah Shamsuddin atau lebih dikenali Malungun); Pengarang Luar Negara (Salim Kajai); Pengarang Wilayah (Harun Taib); Pengarang Sukan (Zainuddin Bendahara) dan Pengarang Wanita (Zubaidah Abd Rahman).
A Samad mengakui walaupun semua jawatan itu sudah pun wujud pada era sebelumnya,
Semua jawatan terbabit sebelum itu wujud tanpa ‘hitam putih’ kerana A Samad Ismail membuat perlantikan berkenaan dengan hanya ‘menunjukkan’ wartawan tertentu untuk mengetuai bidang yang ditentukannya berdasarkan pilihannya.
“Saya meminta Junus memberi hak perlantikan secara rasmi itu kepada saya, termasuk menentukan tangga gaji mereka agar setaraf dengan gaji yang diterima rakan sejawatan mereka di NST yang sudah pun berjalan dengan formal.
“Secara rahsia, saya juga meminta kebenaran daripada Junus untuk ‘mencuri’ orang Utusan Malaysia dengan membawa masuk wartawan seperti Malungun, Salim Hamzah, Khadijah Hashim dan Syukur Harun, sekali gus menyebabkan Ketua Kumpulannya, Tan Sri Melan Abdullah marah serta mendakwa ia dilakukan dengan tujuan melemahkan akhbar berkenaan,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Semua permintaan A Samad direstui dan diluluskan Junus dengan mudah termasuk membenarkannya untuk mengambil wartawan sambilan seperti Jusuh Manaf, Saring Sirad, Ismail Abdullah dan Zahani Sulung yang tidak mempunyai kelulusan dengan gaji setaraf Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Meskipun mendapat dokongan kuat daripada Pengarah Urusannya, tidak bermakna A Samad berhadapan dengan tugas mudah kerana beliau terpaksa mengunyah cabaran daripada wartawan yang enggan menerimanya sebagai pengarang, sekali gus meremehkan kepemimpinan beliau di Berita Harian.
Isyarat penentangan itu dihantar melalui tindakan melangkaui kuasanya seperti mempertikaikan pemilihan berita wilayah untuk disiarkan, selain menyuruhnya untuk menyiarkan foto individu tertentu sehingga ada kalanya A Samad mengakui kemarahannya tercabar juga.
Cabaran yang harus dikunyah tidak terhad kepada penentangan dari bawah, sebaliknya A Samad menyifatkan pengaruh kuasa kanan turut menggigitnya sebagai pengarang sehingga ada menteri dan setiausahanya yang mengunjunginya dengan membawa peringatan berbaur amaran.
A Samad berkata, ‘pertarungan’ itu sangat dahsyat sehingga ada setiausaha menteri yang datang dengan membawa amaran bahawa pintu sedang terbuka dan beliau boleh keluar sekiranya tidak suka, selain terpaksa berhadapan dengan kuasa pihak atasan dalam syarikat.
“Saya pernah bertelagah dengan Pengerusi NSTP, Tan Sri Sheikh Abdullah Sheikh Abu Bakar apabila menghalang rencananya yang menentang demonstrasi pelajar universiti pada 1970-an disiarkan sepenuhnya, sebaliknya menegaskan hanya empat daripada 12 halaman disiarkan.
“Sebenarnya saya tidaklah menyokong demonstrasi itu, tetapi saya cuba melembutkan artikel berkenaan agar beliau tidak terlalu kasar, selain kesan daripada rencananya adalah antara saya dengan pelajar sedangkan saya tahu punca demonstrasi terbabit diadakan,” katanya.
Reaksi Sheikh Abdullah terhadap tindakan A Samad itu di luar dugaannya, apabila tokoh itu masuk ke pejabatnya yang dikongsi bersama Pengarang Kumpulan NST, Lee Siew Yee, lalu mengarahkan Lee keluar dari bilik berkenaan.
Di luar pengetahuan A Samad, Sheikh Abdullah yang membimbit beg bersamanya, mengeluarkan pistol dan diletakkan di atas meja Lee sambil memberitahu beliau masih memiliki sepucuk pistol lagi, sehingga Samad bertanyakan tujuan beliau berbuat demikian.
Rupa-rupanya, dedah A Samad, Sheikh Abdullah hanya mahu mengingatkannya bahawa beliau berkuasa di syarikat berkenaan, tetapi pengarang berkenaan tidak mudah patah semangat untuk mempertahankan tindakan yang difikirkannya tepat.
Ini kerana bagi A Samad, penderitaan sebagai pengarang tidak sama dengan pengalamannya meniti zaman penjajahan Jepun pada usia belum matang dengan ancaman fizikal yang dahsyat, sebaliknya penderitaan itu berbentuk baru meskipun belum pernah dikunyah, tetapi menuntut kesabaran tinggi.
A Samad menduduki kerusi pengarang hanya dua tahun, tetapi pengundurannya itu bukan sebagai tanda tewas dan tunduk kepada tekanan dari dalam dan luar, sebaliknya hasrat itu sudah dinyatakan kepada pihak yang melantiknya sebagai syarat persetujuan menerima jawatan berkenaan.
Apabila melepaskan jawatan yang mendedahkannya kepada asam garam dan pahit manis dunia persuratkhabaran, A Samad menghambakan diri di meja sastera untuk mengangkat bidang itu, sekali gus membentuk penulis sebelum mengambil keputusan mengundur diri pada usia 49 tahun.
Sebagai sasterawan, pengalaman yang berbaur dengan peristiwa tidak menyenangkan hatinya itu terlalu menusuk naluri kepengarangannya, sekali gus mendesaknya menumpahkan pergelutan dunia kewartawanan dalam karya kreatif dengan menghasilkan novel Hujan Pagi.
Lewat Hujan Pagi, A Samad bagaikan menghantar mesej tersirat yang mencengkam sensitiviti kepengarangan pada dekad mencabar itu sambil menyimpulkan falsafah perlu ditelan oleh wartawan dengan ungkapan, “Wartawan jati jarang makan gaji tanpa makan hati.”
Bagaimanapun, A Samad masih bisa tersenyum mengenangkan sumbangannya tercatat dalam lipatan sejarah panjang tinta emas Berita Harian sebagai pengarang yang mendorong kewujudan pengarang secara rasmi di akhbar itu di sebalik catatan kewartawanan masih banyak disimpan di hatinya.




|