Membaca ketinggian falsafah Siti Khadijah lewat kesederhanaan karya Sammaituha Najwa
Kesederhanaan cerpen Hati Seorang Abah di Berita Minggu pada 28 Oktober lalu karya Siti Khadijah Abd Ghaffar atau nama penanya, Sammaituha Najwa tidak hanya terserlah lewat judul yang mudah, bahkan dapat dibaca seawal ayat dan perenggan pertamanya.
Hati Seorang Abah seperti judulnya, memberikan isyarat awal mengenai cerpen itu mengangkat konflik keluarga yang berlaku antara watak ayah dengan anak, sebelum sangkaan pembaca disahkan apabila mula meneroka cerpen berkenaan apabila membaca, “Dia pernah marahkan abah. Kalau bukan kerana abah, pasti dia tidak akan tercampak di situ. Bergelumang dengan debu pepasir, terkejar ke sana ke mari hingga lelah mengurus diri.
“Memang abah punca keberadaan dia di situ. Keputusan abah ibarat batu besar menghempap diri. Dia diserang amarah tidak terluah apabila abah menyuarakan keputusan,” tulis Sammaituha Najwa.
Konfliknya juga mudah: Seorang bapa menggunakan kuasa kebapaan mengarahkan anaknya dengan penuh kepatuhan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar as-Syarif di kota Kaherah yang kacau, kasar dan keras meskipun anak muda itu mempunyai kemahuan untuk menentukan jalan hidupnya sendiri.
Pembaca yang pernah menggigit cabaran di kota Kaherah dan pekan sepanjang Lembah Nil itu, pasti tersenyum kelat mengenangkan gigitan yang berselerakan antara kasar debu padang pasirnya; keras berbaur karisma ilmuwannya; kacau bercampur ketat jaringan pengangkutannya dan karenah pegawai birokrasinya.
Di sebalik faudha (cacamarba) kota Kaherah, watak anak yang taat, Luqman, menemukan hikmah yang disingkap melalui tabir Ramadan apabila lebuh raya bulan itu yang dinyalakan dengan fanus di kiri dan kanannya, lalu dimeriahkan dengan solat jemaah, tadarus al-Quran, zikir, terawih dan qiamullail.
Kesederhanaan konflik yang disebabkan kesederhanaan plot itu, bagaimanapun, menyembunyikan ketinggian falsafah yang diserapkan Siti Khadijah lewat mata pena Sammaituha Najwa, sekali gus menjadikan cerpen berkenaan ibarat sebuah talam sederhana yang mengisi juadah berkhasiat.
Falsafah dalam cerpen itu mula menyatu selari dengan perjalanan plot walaupun pada awalnya cara ia diselitkan pengarang menjadikannya seperti diada-adakan.
Kesepaduan falsafah dalam karya itu menjadi semakin matang kerana pengarang dengan perlahan-lahan meleraikan simpulan konflik, sekali gus menjawab kebekuan Abah terhadap suara lisan dan hati Luqman.
Kekuatan falsafah Siti Khadijah dalam karya Sammaituha Najwa juga turut disebabkan beliau menyalin falsafah daripada sirah yang agung, selain pantulan daripada disiplin ilmunya di Universiti al-Azhar as-Syarif.
Kesederhanaan karya sudah tentu masih boleh dipertingkat seperti menjadikan plot cerpen itu lebih mengalir berbanding perjalanannya yang tersekat-sekat kesan daripada kewujudan episodik secara bernombor, selain pengakhiran dengan kematian yang agak klise dan sedikit tergesa-gesa.
Begitu juga dengan kecenderungan pengarang bertazkirah lewat karya boleh ditipiskan lagi dengan kekuatan kreatif dengan menyatukan unsur didaktik itu dalam karya.
Harus diakui kekuatan falsafah Siti Khadijah berjaya mengimbangi kesederhanaan karya Sammaituha Najwa, sekali gus mewajarkan khalayak sastera untuk memerhatikan kepengarangan penulis muda kelahiran Negeri Sembilan itu.




|